Tidak kisah tidak popular


FAIZAL hanya mahu berusaha dan melangkah ke depan.

MENYEPI diri sejak melancarkan album sulungnya pada Ogos lalu, Mohammad Faizal Ramly (Faizal) boleh dikatakan antara juara Akademi Fantasia (AF) yang paling kurang mendapat perhatian media. Jika ada pun cerita mengenai Faizal, ia semuanya berita yang kurang enak.Dilemparkan pelbagai tuduhan termasuk mengambil dadah serta tidak berdisiplin, karier Faizal agak berliku sehinggakan dia dilabelkan sebagai juara AF yang paling tidak berjaya. Namun, di sebalik ‘ketiadaan’ Faizal, dia sebenarnya sibuk membuat persembahan.

Cuma persembahan-persembahan itu tidak mendapat perhatian media yang sekali gus membuatkan orang berfikir Faizal tidak lagi aktif. Namun, Faizal tidak kisah dengan semua tanggapan orang kerana semua itu menjadikan dirinya lebih matang.

Lagipun, penyanyi berusia 25 tahun itu bersyukur kerana dia masih mampu bertahan dan rezekinya tidak pernah putus. “Saya tidak kisah jika diri saya tidak popular atau kurang publisiti. Apa yang penting adalah rezeki. Janji saya cukup makan dan tidak buat benda-benda jahat terhadap orang lain,” kata Faizal ketika ditemui pada majlis promosi filem Momok The Movie.

Banyak membuat persembahan di Johor dan Pulau Pinang, Faizal turut memberitahu mungkin perjalanan kariernya yang membuatkan dia kelihatan seperti menghilangkan diri.

“Saya tahu ada banyak media yang berkata saya sukar untuk dihubungi. Namun, itu bukannya niat saya. Cuma mungkin kerana saya melakukan semua benda secara peribadi, jadi ada kalanya timbul sedikit salah faham.

“Bayangkan saya selalu memandu kereta seorang diri untuk pergi ke destinasi persembahan. Saya juga menguruskan jadual seni saya sendiri. Saya mahu membuktikan kepada orang ramai bahawa saya mampu melakukannya dan tidak kisah jika perlu bermula dari bawah.

“Saya juga tidak mahu menggunakan khidmat pembantu kerana sudah selesa dengan keadaan sekarang. Biarlah apa orang nak cerita kerana ini adalah perjalanan seni saya sekarang,” katanya yang tidak kisah dengan sebarang kontroversi.

Kekurangan publisiti juga tidak bermaksud dia sudah dilupakan ramai. Malah dalam diam, Faizal telah ditawarkan untuk berlakon dalam dua buah filem. Menariknya dalam kedua-dua filem itu, Momok The Movie dan Pulau Asmara, dia diberi peranan sebagai tunjang utama.

Membawakan watak utama sebagai Adlin dalam Momok The Movie, filem tersebut memberikan banyak pengalaman hebat terhadap dirinya walaupun prosesnya lebih penat berbanding nyanyian. Filem Momok The Movie arahan M.Jamil akan ditayangkan di pawagam pada Hari Raya Pertama nanti.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan ditawarkan watak utama. Lagipun, ini merupakan percubaan pertama dan saya berpeluang untuk bekerjasama dengan pelakon hebat lain seperti Nabil Raja Lawak, Datuk Aziz Sattar, Abon, Leez AF4, Mimi Rahzia dan seniwati tersohor, Datuk Sarimah.

“Tanpa sebarang pengalaman, saya tidak sangka akan ditawarkan untuk berlakon. Mungkin ini rezeki saya. Malah selepas penggambaran Momok The Movie, saya terus ditawarkan untuk sebuah lagi filem iaitu Pulau Asmara arahan Utam Kumar.

“Menceritakan kisah tiga sahabat yang bercuti di Pulau Langkawi, filem genre romantik itu yang diterbitkan oleh Ala Kazam Production sudah siap penggambaran dua bulan lalu. Namun, saya tidak begitu pasti dengan tarikh tayangannya lagi,” kata Faizal.

Tidak kisah jika dia lebih aktif berlakon selepas ini, Faizal memberitahu lakonan dan nyanyian saling mempunyai kaitan. Tapi apa yang pasti, dia akan memberikan yang terbaik dalam bidang yang diceburi.

“Asalkan saya masih mempunyai peluang, saya akan terus mencuba. Selain berlakon, saya juga ada satu projek khas bersama kumpulan Iklim. Setakat ini saya sudah merakamkan lima buah lagu dan ada tiga lagi yang belum dirakamkan,” katanya yang bertindak sebagai vokalis ’sementara’ kumpulan itu.

tips memikat wanita

1 Comment »

  1. fitri Said:

    nice blog design….don”t stress Faizal..you can do it better in the future


{ RSS feed for comments on this post} · { TrackBack URI }

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: